Assalamualaikum wbt,

Lagi 10 hari kita akan bertemu dengan Ramadhan. Pasti ramai yang sudah tidak sabar untuk bertemu dengan tetamu yang hanya setahun sekali dan tetamu ini membawa seribu rahmat Allah swt dan keberkatan di dalamnya.


Dalil Tentang Puasa Ramadhan

Dalil tentang puasa di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 183;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Yaa ayyuhallaziina aamanụ kutiba 'alaikumus-siyaamu kamaa kutiba 'alallaziina ming qablikum la'allakum tattaquun
Artinya:

"Hai, orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."


Hadis Rasulullah SAW:


Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi daripada Abu Hurairah, yang bermaksud:

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu, dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Sesungguhnya pada bulan Ramadhan adalah bulan yang kita boleh grab sebanyak mungkin pahala. Allah bagi peluang kepada kita supaya kita tak sia-siakan selama 30 hari ini untuk kumpul sebanyak-banyaknya pahala amalan kita.



Apa Itu Puasa Ramadhan

Puasa Ramadan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadan. 

Hukum puasa Ramadan adalah wajib bagi umat Islam. 

Kita juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. 

Hal ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni dalam diri pelakunya.

Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian


Niat puasa boleh digunakan dalam bahasa apa sekalipun, asalkan ia bertujuan kita untuk melaksanakan ibadah tersebut. 


Lafaz niat puasa secara harian, niat ini boleh dilafazkan pada malam hari nya sebelum tidur supaya kita tidak terlupa atau terlepas waktu sahur. 


Lafaz Niat Puasa Harian 


نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى


Niatnya : Sahaja aku berpuasa Ramadan kerana Allah Taala.

Atau

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya : Sahaja aku berpuasa esok hari kerana Allah Taala.

Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Lengkap

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

NiatnyaSahaja aku berpuasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadan tahun ini kerana Allah Taala.

(nawaitu sauma ghadin an ada-i fardi ramadana hazihis sanati lillahi taala)


Lafaz Niat Puasa Ramadhan Bulanan


Selain lafaz niat puasa secara harian, kita juga boleh melafazkannya secara bulanan, bukan bermaksud tidak niat setiap hari tetapi jika ada hari kita terlupa, kita boleh berpuasa seperti biasa kerana telah berniat secara bulanan juga. 

ﻧَﻮَﻳْﺖُ ﺻَﻮْﻡَ ﺷَﻬْﺮِ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥَ كُلِّهِ ﻟِﻠَّﻪِ ﺗَﻌَﺎﻟَﻰ

Niatnya : Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadan tahun ini kerana Allah Taala.
(Nawaitu sauma syahri ramadana kullihi lillaahi ta’aalaa)

 

Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa, malah ada niat atau cita-cita dalam hati untuk bangun sahur itu juga dikira sudah berniat untuk berpuasa kerana seseorang itu tidak bangun sahur atau bercita-cita bangun sahur melainkan bertujuan untuk berpuasa esok harinya, melainkan jika dia memang berniat tidak mahu berpuasa jika tidak terjaga semasa waktu sahur.

Menurut mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali, bagi puasa Ramadan itu wajib diniatkan pada setiap malam sepanjang bulan tersebut; waktunya mulai terbenam matahari hinggalah sebelum terbir fajar pada malam-malam tersebut. Manakala mazhab Maliki pula menyatakan bagi puasa Ramadan itu, memadai diniatkan sekali sahaja iaitu pada malam pertama dengan meniatkan sebulan penuh.

Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana ter lupa berniat pada malamnya. Umat Islam di Malaysia mengikuti pendapat Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

Namun begitu, jika puasa Ramadhan terputus oleh sesuatu sebab, seperti haid, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. 

Dengan erti kata lain, memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari puasa Ramadan yang berbaki, iaitu lafaz niatnya:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ وَ إِلَى ءَاخِرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadan ini kerana Allah Taala.

Waktu Berniat Puasa Ramadhan


Waktu berniat bermula dari terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu maghrib hinggalah sebelum terbit fajar sidik (waktu Subuh). 

Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.


Bagaimana ingin berpuasa dengan lebih sihat dan bertenaga? Baca Rahsia Kekal Bertenaga Sepanjang Bulan Puasa.